Premis perniagaan warga asing di Kepong kena sita
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan empat tindakan khas pindah halangan terhadap premis perniagaan warga asing dan premis menggajikan warga asing di sekitar Parlimen Kepong.
Menurut DBKL, operasi tindakan khas itu dijalankan melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Kepong pada Rabu.
"Dalam operasi tersebut, sebanyak empat premis telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.
"Tiga di antara premis tersebut telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
"Selain itu, satu premis telah dikenakan tindakan kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," menurut pihak berkuasa tempatan itu di laman Facebooknya pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
"Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!