[VIDEO] Yasin dipenjara seumur hidup, 16 sebatan kes dadah

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin, 49, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November tahun lalu.

Bagi kes dalam milikannya dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, Yasin, 49, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman dihukum penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan.

Kes menanam 17 pokok kanabis, duda anak dua ini dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan sementara kes memberikan dirinya dadah berbahaya dia dihukum penjara selama 10 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.

Mendengar keputusan itu, riak wajah penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ ini kelihatan sugul sementara ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 16 tahun, menangis ketika berada di galeri awam mahkamah.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Norsharidah berkata, berdasarkan keterangan saksi kedua-dua pihak, mahkamah ini berpendapat, Hakim Mahkamah Sesyen terkilaf dalam membuat keputusan melepaskan dan membebaskannya.

Beliau berkata, ia termasuk meletakkan Yasin di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, saksi pendakwaan ketujuh (SP7), Profesor Dr S Sreeramanan yang juga pakar bioteknologi tumbuhan ketika memberi keterangan berkata, pokok kanabis yang dirampas serta alatan yang ditemui di rumah responden, digunakan dalam penanaman dadah itu.

“SP7 menerangkan, tumbuhan terbabit memerlukan masa selama beberapa minggu untuk tumbuh, dengan penjagaan yang rapi.

“Justeru itu, keterangan saksi menunjukkan, keadaan kesihatan mentalnya ialah waras semasa ditahan oleh SP3 (Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin),” katanya.

Bagaimanapun, hakim ini berkata, responden hanya bersandarkan kepada satu-satunya keterangan saksi pembelaan pertama (SD1), iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.

Yasin Sulaiman (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.
Yasin Sulaiman (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.

Sedangkan beliau berkata, keterangan Dr Ian dan laporan psikiatri semata-mata, tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan, sebagai tidak sempurna akal.

Menurutnya, keterangan SD1 memberitahu bahawa responden tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa ditangkap tetapi, mengikut saksi-saksi pendakwaan menyatakan Yasin sememangnya melakukan kesalahan itu dengan sengaja.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.

Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin hadir selaku perayu sementara peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin sebagai responden.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan

Pada 29 November 2023, Yasin dilepas dan dibebaskan atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh perkenan Sultan Selangor.

Ringkasan berita:

  • Kes: Penyanyi Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas tiga kesalahan berkaitan dadah.
  • Pertuduhan:
    • Memiliki 193.7 gram kanabis (penjara 8 tahun, 10 sebatan).
    • Menanam 17 pokok kanabis (penjara seumur hidup, 6 sebatan).
    • Mengambil dadah berbahaya (penjara 10 bulan).
  • Keputusan Mahkamah: Hukuman penjara berjalan serentak dari 24 Mac 2022.
  • Latar Belakang: Yasin sebelumnya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!