Keahlian Puteri UMNO bertambah lebih 18,000 dalam tempoh setahun

Sebahagian perwakilan Puteri UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Tun Razak, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. Foto Bernama
Sebahagian perwakilan Puteri UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Tun Razak, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keahlian Puteri UMNO bertambah sebanyak 18,216 ahli baharu di seluruh negara dalam tempoh setahun.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pertambahan keahlian itu membuktikan bahawa sayap berkenaan masih relevan walaupun berdepan ketidaktentuan realiti politik.

“Dengan rasa bangga dan teruja, ingin dimaklumkan bahawa kita (Puteri UMNO) turut ada penambahan cawangan Puteri UMNO iaitu sebanyak 378 yang berjaya bersidang pada tahun ini.

“Tahniah diucapkan kepada Puteri UMNO atas usaha cemerlang ini. Along (Nurul Amal) amat berbangga dengan kamu atas hasil usaha keras.

"Ini adalah tanda bahawa Puteri masih menyinar dan Insya-ALLAH, sayap ini terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nurul Amal memberitahu bahawa Puteri UMNO turut berjaya melaksanakan lebih 89 program untuk pelbagai golongan dan memberi impak kepada wanita muda di seluruh negara.

Beliau berkata, ia termasuk program-program berkaitan pengukuhan akar umbi, ekonomi, kerohanian dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Lebih membanggakan, Puteri UMNO juga bekerjsama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan acara-acara yang lebih menepati cita rasa generasi masa kini merangkumi pelbagai aspek.

“Kesemua program ini telah dikelola secara khusus oleh UMNO untuk menepati kehendak wanita muda dan merangkumi keperluan zaman,” ujarnya.

Nurul Amal berkata, ketika persidangan PAU 2023 lalu, Puteri UMNO telah membentangkan dan memberi penekanan kepada beberapa isu yang menjadi perhatian pemimpin wanita muda.

Jelas beliau, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan pada persidangan lalu telah mendapat perhatian daripada kerajaan seperti biasiswa ‘MyBrain’ untuk disambung semula.

“Biasiswa MyBrain 2.0 telah disambung kembali dan permohonannya kembali dibuka pada 1 Ogos 2024. Inisiatif MyBrain 2.0 ini bukan sahaja menggalakkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat tertinggi malah merealisasikan sasaran 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Ia secara tidak langsung meningkatkan pelbagai jumlah tenaga pakar dalam negara dan membuktikan polisi kerajaan Barisan Nasional yang dilaksanakan pada zaman Datuk Seri Najib Razak sebelum ini adalah rintisan berharga memperkasakan pendidikan anak bangsa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!