'Wan Ahmad Fayhsal perlu mohon maaf, henti tegakkan benang basah'
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu mengemukakan permohonan maaf bagi pihak presidennya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukannya bersekongkol melakukan kerja jahat atau menegakkan benang yang basah.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, tindakan Wan Ahmad Fayhsal menyalahkan sebuah portal berita kerana menerbitkan video pendek ucapan Muhyiddin mempertikai keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan pelantikan perdana menteri adalah cubaan mengalih perhatian orang awam.
Menurutnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa bekas perdana menteri itu mempertikai keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan oleh Al-Sultan Abdullah.
"Ia cubaan untuk mengalih perhatian orang awam daripada kekhilafan besar dibuat oleh presiden partinya. Keputusan melantik perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pasti mengambil kira Akta Anti Lompat Parti 2022, kontrak perjanjian serta sokongan secara 'en bloc'.
"Bersatu sudah sekian lama merosakkan demokrasi negara ini bermula dengan Langkah Sheraton sehingga kerangka sebenar Akta Anti Lompat Parti 2022.
"Kini, apabila kerosakan yang mereka lakukan diperbaiki, mereka memilih untuk 'playing the victim' kerana tidak lagi boleh 'menculik' ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, polis merakam keterangan Muhyiddin berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilapor menyebut bahawa bekas Agong tidak mengundangnya untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.
Ucapan Muhyiddin di kempen tersebut juga didakwa mempersoalkan tugas Al-Sultan Abdullah dalam satu video tular di media sosial.
Terbaharu, Muhyiddin dirakam keterangan di pejabatnya di KL Sentral selepas polis menerima 30 laporan terhadap beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Terbaharu pada 21 Ogos, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video pendek terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!