Empangan Nenggiri: 71,289 artifak ditemukan

Zaharudin (kanan) dan Zuliskandar menunjukkan satu rangka yang lengkap yang dijumpai di gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun.
Zaharudin (kanan) dan Zuliskandar menunjukkan satu rangka yang lengkap yang dijumpai di gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Warisan Negara bersama pasukan ekskavasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menemukan 71,289 artifak di kawasan Lembah Nenggiri dekat sini yang menjadi tapak kepada pembinaan empangan.

Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Zaharudin Abu berkata, ia termasuk rangka, tulang, alatan batu, tembikar dan sebagainya.

"Penemuan itu adalah hasil kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua batu kapur yang terlibat dengan pembinaan projek terbabit.

"Kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi itu bermula pada Mac 2022 dan berakhir Oktober 2023," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tohoi di sini.

Hadir sama ialah, Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM Pakarunding, Dr Zuliskandar Ramli.

Jabatan Warisan Negara bersama pasukan ekskavasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menemukan 71,289 artifak di kawasan Lembah Nenggiri, Gua Musang yang menjadi tapak kepada pembinaan empangan. Antara alat batu yang ditemui di Lembah Nenggiri, Gua Musang.
Jabatan Warisan Negara bersama pasukan ekskavasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menemukan 71,289 artifak di kawasan Lembah Nenggiri, Gua Musang yang menjadi tapak kepada pembinaan empangan. Antara alat batu yang ditemui di Lembah Nenggiri, Gua Musang.

Menurutnya, daripada 71,289 jumlah tersebut 16 rangka sudah berada di Jabatan Warisan Negara untuk kerja pemuliharaan, konservasi dan penyelidikan lanjutan.

Ujarnya, artifak itu selebihnya ada disimpan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel Berkaitan:

Zaharudin memberitahu, pihaknya bersama UKM berusaha membawa keluar sebanyak mungkin artifak atau jumpaan di tapak Lembah Nenggiri.

"Semua jumpaan tersebut mempunyai nilai yang tinggi. Paling berharga ialah satu rangka yang lengkap yang dijumpai di gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB kerana telah menyediakan tempat untuk menyimpan sementara artifak itu sebelum ditempatkan di galeri mini yang akan dibina TNB,” katanya.

Dalam pada itu, Zaharudin berkata, penemuan terbabit secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Zaharudin (kiri) dan Zuliskandar ketika ditemui di Pos Tohoi, Gua Musang.
Zaharudin (kiri) dan Zuliskandar ketika ditemui di Pos Tohoi, Gua Musang.

Justeru beliau berharap pihak UKM mencalonkan objek rangka manusia Gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun itu untuk diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Ini salah satu cara untuk kita memelihara objek itu, jadi bila diwartakan, ia akan dipelihara dengan baik.

"Saya minta kepada semua pihak sekiranya ada jumpaan yang mempunyai signifikan warisan, ia perlu terus dilaporkan kepada pejabat daerah, pegawai daerah atau pun pesuruhjaya secara langsung," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!