Jutaan penduduk terjejas banjir landa wilayah Noakhali, Bangladesh
DHAKA - Banjir di wilayah Noakhali, tenggara Bangladesh menjejaskan jutaan orang dan menyebabkan puluhan ribu penduduknya hilang tempat tinggal.
Majistret dan pegawai daerah di Noakhali, Dewan Mahbubur Rahman memberitahu Xinhua bahawa situasi amat membimbangkan susulan hujan lebat yang berlanjutan selama beberapa hari mengakibatkan paras air di Sungai Muhuri di Feni terus meningkat.
Majistret dan pegawai daerah di Feni, Musammat Shahina Akter berkata Sungai Muhuri yang mengalir ke Bangladesh dari India kini melebihi paras bahaya, memburukkan lagi keadaan banjir di Feni dan daerah lain di wilayah itu.
"Beberapa kawasan di Feni kini dilanda banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad, menjejaskan sekurang-kurangnya 250,000 orang dan setakat ini mengorbankan satu nyawa," katanya.
Banjir besar itu menjejaskan penempatan, tanaman, jalan raya dan lebuh raya di seluruh wilayah Noakhali.
Paras air di kebanyakan sungai utama seperti Sungai Gumti, Muhuri, Kohua, dan Silonia melebihi paras bahaya pada Rabu.
Pihak berkuasa mengerah pasukan tindak balas bencana untuk menjalankan operasi menyelamat, mengedarkan bahan bantuan dan menyelia pusat-pusat perlindungan yang menempatkan puluhan ribu penduduk. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!