PAU 2024: Jangan lupa diri selepas menang Nenggiri
KUALA LUMPUR - Semua ahli dan jentera UMNO diingatkan agar tidak lupa diri, lalai dan berasa selesa selepas menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu lepas.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, walaupun gembira dengan kemenangan tersebut, beliau tidak mahu ada suara-suara yang merasakan UMNO sudah cukup kuat.
Bagaimanapun katanya, banyak yang boleh dipelajari daripada kejayaan tersebut terutamanya berkaitan strategi, pendekatan dan semangat.
“Jangan ada rasa kita (UMNO) mampu mengubah sokongan sekelip mata. Jangan sesekali kita lupakan sejarah.
“Ingat tak, kita menang bergaya dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tapi dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), kita kehilangan Putrajaya
“Justeru, saya mohon semua jentera dan para perwakilan, teruslah beristiqamah dalam perjuangan.
"Saya mahu semangat dan kekuatan yang sama ini, kita bawa ke PRK DUN Mahkota yang akan diadakan tak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, Noraini turut merakamkan penghargaan buat Ahmad Zahid yang begitu komited dalam PRK Nenggiri sehingga berjaya memperoleh pencapaian luar biasa.
“Kita saksikan betapa komitednya beliau sepanjang berkempen dalam memastikan kemenangan di Nenggiri.
"Tahniah juga kepada Datuk Ahmad Jazlan kerana bertungkus-lumus menggerakkan jentera bagi membantu memenangkan BN kali ini.
“Saya lihat sendiri kedua-dua sosok ini bersama jentera dari seluruh negara mengatur gerak kerja secara sistematik.
“Dalam siri PRK yang kita lalui sejak pasca PRU15, sebenarnya inilah kali pertama kerusi beralih tangan. Lebih manis, kita ambil kerusi ini di bumi Kelantan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemenangan itu juga didorong oleh kesepakatan semua jentera tempatan dan luar dari seluruh negara dalam memastikan kemenangan calon BN.
Malah katanya, gerak kerja di Nenggiri dibuat lebih awal, sebelum calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan diumumkan.
“Bila calon diumumkan, semua menerima dengan hati yang terbuka. Tiada lagi kita dengar cerita merajuk, sabotaj, cah keting.
"Baik jentera tempatan dan luar dari seluruh negara, semuanya mempunyai niat yang sama iaitu ingin menentukan bahawa kita menang di DUN Nenggiri,” katanya.
Dalam PRK DUN Nenggiri, calon BN iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu menang dengan majoriti 3,352 undi apabila berjaya memperoleh 9,091 undi menewaskan Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!