Kontraktor gagal patuhi keselamatan bakal ditamatkan perkhidmatan

Bahagian Landskap, Bahagian Perundangan MBK dan 17 kontraktor lantikan MBK dari 19 Zon Daerah Kuantan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membincangkan isu semasa termasuk aspek keselamatan. Foto FB Polis Trafik Kuantan
Bahagian Landskap, Bahagian Perundangan MBK dan 17 kontraktor lantikan MBK dari 19 Zon Daerah Kuantan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membincangkan isu semasa termasuk aspek keselamatan. Foto FB Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Tindakan tegas termasuk tamatkan perkhidmatan kepada mana-mana pihak kontraktor yang didapati gagal mematuhi keperluan keselamatan ketika menjalankan kerja-kerja penyiraman pokok di rizab jalan di daerah ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, kontraktor yang dilantik perlu memenuhi spesifikasi kerja yang telah ditetapkan terutamanya yang melibatkan aspek keselamatan.

Jelasnya, penggunaan peralatan keselamatan seperti kon, bendera, papan tanda, baju keselamatan, lampu keselamatan dan sebagainya hendaklah mencukupi.

"Semua peralatan itu perlu digunakan setiap masa terutamanya semasa kerja-kerja dijalankan.

"Jika, kita dapati pihak kontraktor gagal patuhi keperluan keselamatan, tindakan tegas diambil termasuklah ditamatkan perkhidmatan," katanya pada Khamis.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua kes maut membabitkan insiden kemalangan ketika menyiram pokok bunga di Jalan Bypass berhampiran Persimpangan Cengkih di sini dalam tempoh kurang dari dua bulan.

Pada kejadian 7 Ogos, seorang warga emas, Gee Len Fatt, 63, beralamat dari Jalan Haji Ahmad disahkan meninggal dunia selepas melanggar lori menyiram pokok bunga di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bukit Istana.

Pada 19 Ogos, seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori kontraktor yang melakukan kerja-kerja menyiram pokok di lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Dalam nahas itu, Muhammad Nafis Ifwat Sasuhilmy, 19, dari Sungai Isap Damai Fasa 3 di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.10 malam di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menerima rawatan.

Susulan daripada kejadian tersebut, kedua-dua keluarga mangsa tragedi melantik peguam bagi menuntut keadilan

Nor Hayatul Huda turut mengesahkan kejadian itu membabitkan dua kontraktor berlainan yang ketika menjalankan kerja penyiraman di pokok di laluan berkenaan.

"Kita kini masih melakukan siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan dan mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi berbincang perkara berkaitan," jelasnya.

Beliau menambah, Bahagian Landskap, Bahagian Perundangan MBK dan 17 kontraktor lantikan mereka dari 19 Zon Daerah Kuantan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Katanya, dalam pertemuan itu antara perkara dibangkitkan ialah berkaitan isu yang telah berlaku termasuk, prosedur tatacara kerja, permasalahan yang berlaku dan kekurangan.

"Malah, cadangan penambahbaikan semasa melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang laluan dalam daerah Kuantan.

"Sesi taklimat berjalan lancar, semua pihak akur dengan tanggungjawab yang diamanahkan dan memahami bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan jika didapati ingkar," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai memandu secara berhemah, berhati-hati dan mengikut had kelajuan yang telah ditetapkan.

"Sentiasalah berwaspada dengan keadaan persekitaran sewaktu di jalan raya bagi mengelaknya berlaku kejadian tidak diingini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!