Sultan Nazrin berangkat rasmi UiTM Kampus Tapah
TAPAH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah di sini pada Khamis.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan lafaz rasmi dan gimik perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Baginda kemudiannya dibawa melawat ke ruang pameran yang disediakan.
Kampus Tapah merupakan kampus kedua UiTM Cawangan Perak selepas Seri Iskandar dan mula beroperasi pada 1 Disember 2010.
Fasa pertama bangunan kampus ini terdiri enam unit bangunan dengan pengambilan pertama melibatkan 25 pelajar dalam pengajian Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains).
Fasa Kedua pula mula dibina pada 2011 dan beroperasi sepenuhnya 21 April 2014 untuk menempatkan 5,000 pelajar dengan 2,500 kapasiti penginapan dengan keluasan keseluruhan 11 hektar.
Kemudahan lain disediakan termasuklah kompleks pentadbiran, blok fakulti, perpustakaan, pusat pelajar, pusat Islam, bangunan kafeteria, unit kesihatan dan pelbagai lagi kemudahan bertaraf moden untuk kemudahan pelajar.
Kini, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah menawarkan tujuh program utama di Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan serta Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik.
Naib Cancelor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib dalam sembah ucapannya berkata, perasmian UiTM Kampus Tapah bukan sahaja menjadi sejarah, bahkan sebagai peletakan asas kukuh bagi fungsi sebenar menjadi sebuah universiti berasaskan sains dan teknologi.
Katanya, UiTM telah membuktikan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan warganya hingga ke peringkat antarabangsa antaranya melalui penarafan QS World University Rankings 2024, kedudukan universiti ini telah melonjak 102 anak tangga kepada kedudukan ke-555 di peringkat dunia dan ke-10 terbaik di Malaysia.
"UiTM turut meraih kedudukan berprestij dengan berada pada kedudukan ke-98 dan tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2024.
"Segala pencapaian diperoleh ini hasil berkat semangat kerja berpasukan dan keikhlasan semua warga dalam memacu universiti untuk menjadi lebih progresif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!