Kapal tangki China bersauh secara haram ditahan

Sebuah kapal tangki dari China (kiri) yang disyaki bersauh secara haram di perairan negeri ini ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang. 18 kru warga China (kanan) termasuk nakhoda kapal ditahan untuk siasatan lanjut.
Sebuah kapal tangki dari China (kiri) yang disyaki bersauh secara haram di perairan negeri ini ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang. 18 kru warga China (kanan) termasuk nakhoda kapal ditahan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki dari China yang disyaki bersauh secara haram di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kapal itu ditahan di 15.4 batu nautika barat laut perairan Muka Head pada jam 12.50 tengah hari Rabu.

"Kapal tangki sepanjang 130.2 meter yang didaftarkan di China itu dikendalikan 18 kru termasuk nakhoda. Mereka berusia lingkungan 31 hingga 51 tahun.

"Kesemua mereka bagaimanapun didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, nakhoda kapal didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Beliau turut memberi alasan menunggu arahan pelayaran seterusnya dari pihak syarikat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali kerana bersauh tanpa kebenaran," katanya.

Razali turut menasihatkan syarikat perkapalan agar mengambil serius mengenai prosedur serta peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!