KPT beri peringatan elak mahasiswa jadi mangsa keldai akaun

Mustapha (tengah) ketika melawat reruai sempena Program Global Young Leaders Summit 2024 di Universiti Malaysia Terengganu
Mustapha (tengah) ketika melawat reruai sempena Program Global Young Leaders Summit 2024 di Universiti Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi mengelakkan mahasiswa daripada menjadi mangsa keldai akaun di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pengurusan IPT terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) juga perlu mengadakan program kesedaran terhadap mahasiswa berhubung isu tersebut bagi memastikan tiada pelajar yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

"Kita amat mengambil berat tentang isu ini dan sedang mengenal pasti jika ada mahasiswa yang terlibat (keldai akaun) dan mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat perkara tersebut.

Mustapha (dua dari kanan) ketika merasmikan Program Global Young Leaders Summit 2024 di Universiti Malaysia Terengganu
Mustapha (dua dari kanan) ketika merasmikan Program Global Young Leaders Summit 2024 di Universiti Malaysia Terengganu

"Tetapi di peringkat kementerian, kita akan adakan program-program kesedaran terlebih dahulu kepada mahasiswa selain buat surat peringatan supaya HEPA dapat pastikan tiada pelajar yang terlibat dalam kes sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Global Young Leaders Summit 2024 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PDRM tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada 208,000 pemilik keldai akaun yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi mangsa penipuan sehingga akaun bank mereka digunakan sindiket.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mangsa keldai akaun di kalangan penuntut IPT terbabit turut dijanjikan dengan imbuhan sehingga mereka terperdaya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai tindakan dikenakan terhadap pelajar sekiranya terlibat menjadi mangsa keldai akaun, Mustapha menyatakan tindakan akan diambil setelah siasatan dijalankan oleh pihak PDRM berhubung isu berkenaan.

"Kita lihat dahulu siasatan yang dilakukan pihak polis dan kemudian lihat keperluan tindakan tatatertib di pihak IPT melalui AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971)," ujarnya.

Dalam pada itu, Mustapha tidak menolak bahawa terdapat mahasiswa yang tertarik untuk menjadi mangsa keldai akaun susulan kekurangan dari segi faktor kewangan.

"Iklan-iklan yang ditawarkan mampu menarik minat mahasiswa dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk terjebak (keldai akaun) tetapi kita minta pelajar ini supaya selidik dahulu.

"Kita lihat satu persatu kes (mangsa keldai akaun)... kalau terjebak sebab tak sedar (risiko akibat perbuatan itu). Jadi kita kena bantu mereka," ujarnya.

Justeru, Mustapha menasihati mahasiswa di negara ini agar berhati-hati dan tidak mengambil mudah soal memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian menggunakan akaun bank mereka.

"Jadi kita minta mahasiswa supaya berhati-hati apabila mendapat mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp dan semak dahulu latar belakang akaun tersebut.

"Kadang-kadang memang tawaran itu menarik tetapi kita kena tahu siapa individu di sebaliknya. Ini penting supaya mahasiswa sedar tentang ada usaha pelbagai pihak di luar sana nak ambil kesempatan dalam isu itu untuk mengaut keuntungan serta mempergunakan mereka," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!