Timbunan sampah cemari lembangan Sungai Buloh, Ijok

Penduduk menderita bau busuk dan asap berikutan kewujudan tapak sampah haram di tanah persendirian berhampiran lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini sejak lebih dua tahun lalu. Gambar kecil: Saiful Nazrinn
Penduduk menderita bau busuk dan asap berikutan kewujudan tapak sampah haram di tanah persendirian berhampiran lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini sejak lebih dua tahun lalu. Gambar kecil: Saiful Nazrinn
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 2,000 penduduk di tiga kampung dan kawasan perumahan di sini menderita bau busuk dan asap berikutan kewujudan tapak sampah haram di tanah persendirian berhampiran lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini sejak lebih dua tahun lalu.

Tiga kampung berhampiran kawasan tapak sampah haram yang terjejas itu ialah Kampung Harmoni, Batu 7 dan Batu 8.

Seorang penduduk, Saiful Nazrinn Rahmat, 47, berkata, masalah itu berlarutan sejak sekian lama namun, sehingga kini masih gagal ditangani.

"Tapak pelupusan haram ini bukan sahaja menimbulkan bau kurang menyenangkan, malah mengancam kesihatan penduduk sekitar kerana mencemari kualiti udara," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Timbunan sampah haram dibuang di lembangan Sungai Buloh, Ijok.
Timbunan sampah haram dibuang di lembangan Sungai Buloh, Ijok.

Saiful Nazrinn memberitahu, masalah bertambah teruk setiap kali banjir apabila timbunan sampah itu dihanyutkan air ke rumah penduduk berhampiran.

Jelasnya, keadaan itu mengundang rasa tidak selesa penduduk sekali gus mencemarkan persekitaran.

Seorang lagi penduduk, Mohd Razak Md Basir, 38, berkata, mereka sudah membuat aduan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan tegas diambil.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penduduk pelik berikutan kawasan itu yang berdekatan laluan air menjadi tempat pembuangan sampah haram.

"Kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pembuangan sampah haram di sini.

"Sepatutnya kita yang duduk di kampung ini banyak pokok dan dapat hirup udara nyaman, tapi sampah haram ini merubah segalanya," ujarnya.

Jefri (kanan) melakukan lawatan di tapak pembuangan sampah haram berkenaan.
Jefri (kanan) melakukan lawatan di tapak pembuangan sampah haram berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan turut melakukan lawatan dan meninjau lokasi sampah haram terbabit.

Beliau berkata, hasil lawatannya itu mendapati terdapat timbunan sampah haram di kawasan seluas 5.2 hektar dipercayai tanah berstatus pertanian milik persendirian.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati banyak sisa perindustrian seperti bahan kimia dan domestik dibuang di kawasan berkenaan.

"Terdapat juga bahan terbakar seperti arang menghasilkan bau kurang menyenangkan yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Penduduk kampung memaklumkan, kawasan ini adalah lembangan atau pun tempat tadahan air, tetapi kita dikejutkan rupanya terdapat lambakan sampah haram," jelas beliau.

Katanya, lawatannya itu juga disertai agensi daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Selangor.

"Saya telah meminta pihak berkuasa untuk menyediakan laporan penuh untuk tindakan selanjutnya," tegas beliau.

Beliau memberitahu, semasa perjumpaan bersama agensi itu, pihak operator di tapak pelupusan sampah turut hadir memberi penjelasan.

"Pihak operator memberi komitmen untuk mereka menghentikan kemasukan sampah dan akan menimbus kawasan itu dengan tanah merah, namun apa jua tindakan dilakukan, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut saluran perundangan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!