Ekonomi Madani: Enam penanda aras capai sasaran
BANGI - Enam penanda aras kerangka Ekonomi Madani dilihat bergerak di landasan tepat dan mampu mencapai sasaran ditetapkan kerajaan menjelang tahun 2033.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bagaimanapun berkata, penanda aras kedua iaitu meletakkan Malaysia di tangga ke-12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global masih belum menepati piawaian dan perkara itu harus perhatian khusus kerajaan.
"Kerajaan perlu mengiktiraf bahawa negara berhadapan dengan keadaan menggusarkan, tidak salah untuk menyedarkan masyarakat bahawa Malaysia berhadapan masalah besar.
"Kerajaan, perniagaan serta masyarakat mempunyai peranan untuk meningkatkan daya saing negara dan tidak boleh hanya (melibatkan) jawatankuasa Kabinet.
"Pasukan ini bertindak untuk menyusun strategi, melaksana, memantau dan melapor secara berterusan," katanya pada sidang akhbar Setahun Ekonomi Madani dan Transformasi Ekonomi Bumiputera di sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai tahun lalu mengumumkan Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata, antaranya, Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.
Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-34 dalam indeks tersebut dan jatuh merudum dalam tempoh 10 tahun sejak 2014.
Dalam pada itu, Noor Azlan menjelaskan, penarafan daya saing menjadi antara maklumat yang mendasari keputusan pelabur domestik dan antarabangsa dalam menentukan lokasi pelaburan serta sumber berkualiti termasuk aliran modal dan bakat.
Selain itu menurutnya, hanya segmen prestasi ekonomi yang masih bertahan iaitu di kedudukan kelapan.
"Tiga kategori lain iaitu kecekapan kerajaan, perniagaan dan infrastruktur masing-masing berada di tangga ke-33, 40 dan 35.
"Namun status yang dilaporkan itu bukanlah rumusan untuk Ekonomi Madani.
“Kedudukan daya saing negara yang membimbangkan ini menuntut kita segera bertindak bagi menjayakan kerangka ekonomi tersebut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!