HKHM platform untuk rakyat fahami, amal Rukun Negara - Aaron

Aaron
Aaron
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia menggunakan platform sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) untuk kembali menghayati, memahami serta mengamalkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, tujuan utama Rukun Negara adalah untuk membentuk perpaduan yang kukuh dan prinsip terkandung di dalamnya jelas menjadi kunci kepada keharmonian serta perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

"Saya berharap Rukun Negara terus mekar dan nilai-nilainya diamalkan oleh segenap segmen masyarakat di Malaysia. Jangan sekadar menjadi perhiasan di bibir apabila dilafazkan. Tetapi perlulah sentiasa difahami dan dihayati Rukun Negara sebagai ikrar penyatupaduan rakyat Malaysia,” katanya menerusi aplikasi X pada Khamis.

Mengimbau insiden 13 Mei 1969, Aaron berkata, peristiwa itu mencatatkan sejarah pahit buat negara kerana menimbulkan ketegangan kaum disebabkan wujud jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa serta berbagai-bagai lagi punca sehingga mengorbankan 196 orang.

"Majlis Perundingan Negara yang ditubuhkan Mageran (Majlis Gerakan Negara) telah menghasilkan Rukun Negara sebagai ramuan baharu dalam mengeratkan kembali hubungan antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya.

Aaron berkata, Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian iaitu cita-cita dan prinsip namun tumpuan hanya diberikan kepada lima prinsip.

Aaron berkata, lima cita-cita itu adalah menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat, mengekalkan cara hidup demokratik, mewujudkan masyarakat saksama, memastikan pendekatan liberal diambil terhadap adat resam dan budaya serta membangunkan masyarakat progresif berasaskan sains moden dan teknologi.

"Lima cita-cita ini membawa pengertian lebih besar kepada soal kerukunan dan keamanan rakyat Malaysia. Jelas insiden 13 Mei menunjukkan bahawa Rukun Negara sebagai ideologi negara telah memberi impak positif kepada pembangunan keharmonian negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aaron berkata, penghayatan konsep taaruf juga hendaklah diterapkan dalam diri semua rakyat supaya dapat mengelakkan berlakunya tanggapan buruk atau salah terhadap mana-mana kaum dan agama.

"Tidak kira generasi muda atau berusia, masing-masing mempunyai tanggungjawab besar serta harus memikul amanah negara dalam memastikan Malaysia terus aman, damai dan sentosa.

"Perpaduan bermula daripada sanubari kita sendiri. Semailah semangat penyatupaduan itu dalam diri, keluarga dan komuniti nescaya akan mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu dan muhibbah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!