‘Sudah tiba masa Majlis Ulama UMNO jadi badan penting’

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia pada Khamis. Foto Bernama
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Ulama UMNO digesa agar menjadi badan penting yang tidak hanya berfungsi terhadap isu-isu tertentu sahaja.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, majlis yang ditubuhkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu perlu sentiasa kehadapan apabila wujud hal-hal berkaitan umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, sayap berkenaan mengangkat pemerkasaan terhadap tiga teras utama antaranya agama yang menjadi keutamaan parti dengan penubuhan Majlis Ulama UMNO dan Kemas Tahfiz.

“Teras pertama adalah agama. Sudah tiba masanya, Majlis Ulama UMNO berperanan sebagai badan yang terkehadapan dalam isu berkaitan dengan umat Islam.

“Di samping itu, penubuhan Kemas Tahfiz yang digagaskan Ahmad Zahid merupakan satu usaha yang baik untuk memastikan generasi akan datang mampu mengimbangi antara duniawi dan ukhrawi. Inilah teras perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Nurul Amal memaklumkan, dua teras lain yang menjadi keutamaan sayap itu adalah pendidikan dan ekonomi.

Mengulas lanjut mengenai teras kedua (pendidikan), Nurul Amal berkata, UMNO sentiasa berdedikasi dalam memastikan hak pendidikan orang Melayu dan bumiputera terus terjaga.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sayap itu turut senda dengan pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir agar Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dikekalkan.

“Puteri UMNO memohon agar memperkemas segmen pendidikan kepada orang Melayu dan bumiputera melalui Mara dan agensi di bawahnya seperti Giat Mara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan lain-lain untuk diberikan ruang menjadi penghubung antara institusi pendidikan.

“Pendidikan mampu mengubah kehidupan dan menjadi pemangkin untuk keluar daripada kepompong kejahilan dan kemiskinan serta memerdekakan jiwa dan minda.

"Kita perlu terus beriltizam mempertahankan teras ini demi anak bangsa dan nusa tercinta,” ujarnya.

Berhubung teras ekonomi, Nurul Amal memberitahu bahawa Puteri UMNO begitu menitikberatkan perkara itu kerana ia mencerminkan figura Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Menurutnya, gelaran tersebut begitu signifikan dengan Tun Abdul Razak kerana beliau menggagaskan Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) yang menjadi lonjakan awal kepada peningkatan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera.

“Walau ada pihak mempertikaikan keberkesanan dan pencapaian DEB, namun asasnya jelas untuk memastikan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera dapat ditingkatkan seiring dengan kaum lain di Malaysia.

“Masih relevan atau tidak DEB ini, bukan isunya. Apa yang diharapkan adalah kerajaan tidak meminggirkan dan mengetepikan peluang dan ruang bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!