Pemuda UMNO tawar jadi calon PRK Mahkota
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyatakan kesediaan sekiranya calon daripada sayapnya diberi kepercayaan sekali lagi bertanding pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor yang dijadual berlangsung pada 28 September depan.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia selepas calon muda yang ditampilkan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan berjaya menang besar baru-baru ini.
“Kejayaan Nenggiri ini juga mesti dijadikan pedoman buat semua. Buat perwakilan di hadapan saya, mahupun barisan kepimpinan di atas, saya hendak bagitahu, kalau ada impian untuk menjadi calon, kena buktikan dahulu yang anda benar-benar ada ciri yang berkhidmat bukan sekadar yang berhormat.
“Buat para yang berkhidmat yang ada dalam pasukan Pemuda UMNO Malaysia ini, saya nak bagi amaran, termasuklah amaran kepada diri saya sendiri, jangan malas, jangan culas, jangan ngelat, jangan berdalih bila nak tolong rakyat.
“Kalau saya dapat tahu ada wakil rakyat dalam kalangan Pemuda UMNO ini yang tak buat kerja, jangan mimpi hendak jadi calon untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Pada PRK DUN Nenggiri Sabtu lalu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi berkenaan untuk UMNO dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
BN memenangi kerusi Nenggiri selama empat pilihan raya berturut-turut sejak kawasan itu diwujudkan pada 2004 sebelum PN menerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menang kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) tahun lalu dengan majoriti 810 undi.
Dr Muhamad Akmal menambah, kemenangan di Nenggiri juga turut memberi semangat baharu bukan sahaja kepada jentera pemuda tetapi puteri, wanita dan UMNO secara keseluruhannya.
“Bagi saya, kali ini, kita benar-benar bergerak sebagai sebuah Keluarga UMNO yang besar.
"Terima kasih buat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada kami para pemuda untuk mewakili UMNO di Nenggiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!