Analisis kelemahan UMNO berbanding cari kesalahan parti lain - Ketua Puteri

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 pada Khamis. Foto Bernama
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO digesa untuk untuk menganalisis kelemahan parti itu berbanding mencari kesalahan parti lain dalam usaha membawa kembali kegemilangannya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, barisan kepimpinan UMNO perlu menjadi seperti memalu ular dalam benih.

“Ular biar mati, benih jangan rosak. Andai ada sebarang isu atau masalah yang melanda maka bersikap bijaksanaah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“UMNO perlu membuka minda, hati dan mengkaji serta menganalisis kelemahan parti berbanding mencari kesalahan parti lain.

“Menurut Socrates, ‘kenalilah dirimu sendiri, barulah kita dapat mengetahui kekurangan seterusnya memperbaiki aspek-aspek penting dalam hidup’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nurul Amal turut menggesa agar barisan kepimpinan tertinggi memberi perhatian kepada sayap Puteri UMNO demi kelangsungan dan kemandirian parti pada masa hadapan.

“Ada yang minta, lanjutkan usia Puteri kepada 40 tahun. Katanya, sudah bertahun Puteri bawa usul ini. Ada juga yang berkata, tak sesuai dilanjutkan tetapi perlu dipendekkan. Saya mohon pandangan semua perwakilan dan para pembahas sekalian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, parti berkenaan perlu fokus kepada kekuatan iaitu memperkasa agenda patriotik dan semangat kenegaraan.

Menurutnya, sayap berkenaan perlu kembali mengepalai dan menjadi pencetus semula dan ia perlu dimulakan dengan kepemimpinan tertinggi.

“Kita perlu mengolah semula pendekatan memicu semangat kenegaraan dan paling penting untuk kita membina semula parti ini, jangan sekali menjadi api dalam sekam yang merosakkan dari dalam.

“Ingatlah, kapak tidak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu yang menjadi hulunya,” jelas Nurul Amal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!