Pelancaran infrastruktur AWS di Malaysia lonjak keyakinan pelabur

Tengku Zafrul Foto Bernama
Tengku Zafrul Foto Bernama
A
A
A

PELANCARAN infrastruktur Amazon Web Services (AWS) Asia Pacifik (Malaysia) Region di Malaysia berupaya melonjakkan keyakinan pelabur asing untuk terus datang ke negara ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, komitmen AWS untuk meluaskan operasinya di Malaysia merupakan petunjuk penting kemampuan negara merealisasikan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor digital dan teknologi oleh syarikat gergasi antarabangsa.

"Ini ialah testament support (bukti sokongan) yang kita dapat daripada AWS dan agensi berkaitan...dan pada masa yang sama penting untuk kita memastikan apa-apa yang kita umum, perlu dilaksanakan.

"AWS merupakan salah satu contoh yang ada," katanya ketika ditemui Bernama pada Perhimpunan Agung UMNO 2024, di sini, pada Khamis.

AWS yang merupakan unit Amazon.com Inc hari ini melancarkan infrastruktur AWS Asia Pasifik (Malaysia) Region di Malaysia dan merancang pelaburan berjumlah kira-kira AS$6.2 bilion (RM29.2 bilion) di negara ini sehingga 2038.

Infrastruktur AWS Region itu menawarkan portfolio perkhidmatan paling meluas termasuk aspek analitik, pengkomputeran, pangkalan data, Internet Pelbagai Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI ) generatif, pembelajaran mesin, perkhidmatan mudah alih, storan dan teknologi awan lain.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India baru-baru ini turut membincangkan isu berkaitan keperluan terhadap penyelesaian teknologi maklumat (IT) dan pusat data dalam meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

"Di India kita jumpa syarikat gergasi seperti Tata Consultancy Services (TCS) dan HCL Tech yang menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dan meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia kerana kemudahan pusat data yang kita ada.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kehadiran syarikat seperti AWS, Microsoft dan sebagainya, ia memberi keyakinan untuk mereka datang ke Malaysia kerana apa yang mereka lakukan memang memerlukan pusat data ekosistem," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!