Final Piala FA: Penyokong JDT diminta jaga disiplin

Kira-kira 60 bas disediakan membawa penyokong pasukan JDT ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. (Gambar kecil: Mohd Hairi)
Kira-kira 60 bas disediakan membawa penyokong pasukan JDT ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. (Gambar kecil: Mohd Hairi)
A
A
A

PENYOKONG pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) diminta menjaga disiplin ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC menentang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) pada Sabtu ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, penyokong juga diharap tidak sesekali mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengundang perkara tidak diingini.

Beliau juga menyeru Bangsa Johor yang merupakan ‘pemain ke-12’ JDT memberi sokongan dengan laungan dan jeritan kepada pasukan JDT.

"Sememangnya lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti menjadi faktor dan elemen tambahan serta kekuatan buat pemain-pemain JDT yang bakal turun beraksi nanti.

"Sabtu ini pasukan JDT dengan barisan pemain yang penuh persediaan rapi dan berada di tahap terbaik, mampu cipta sejarah dalam landskap arena bola sepak negara.

"Buat semua yang menonton dan sama-sama memberikan sokongan pada Sabtu ini, diharapkan juga menjaga disiplin dan tidak sesekali mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengundang perkara tidak diingini," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Menurut Mohd Hairi, berbekalkan status juara bertahan dan trek rekod serta prestasi memberangsangkan, pasukan JDT mampu melengkapkan hatrik kejuaraan setelah menjulang Piala FA Malaysia pada tahun 2022 dan 2023.

Jelasnya, pasukan JDT telah bersiap sedia dan tidak akan memberi laluan mudah untuk Selangor FC dalam aksi final Piala FA nanti.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, dalam laluan ke Final Piala FA, daripada keseluruhan lima perlawanan menyaksikan pasukan JDT hanya melepaskan satu gol dan prestasi yang diberikan semua pemain adalah pada tahap terbaik.

"Semestinya aura sebagai juara bertahan dan suntikan semangat untuk menjulang hatrik kemenangan Piala FA menjadi pembakar semangat kepada pemain, bahkan mampu membuat Selangor FA ‘bermandi peluh’.

"Insya-ALLAH berbekalkan prestasi, semangat dan keazaman ini, saya yakin JDT mampu berdepan dengan sebarang ‘kejutan’," katanya.

Pada Rabu, Presiden Johor Fans Club, Azman A. Jalil berkata, dianggarkan 60 bas disediakannya bersama kelab sekutu lain untuk berkonvoi menuju SNBJ, Sabtu ini

Setiap kali pasukan JDT melangkah ke pentas perlawanan akhir baik Piala FA mahupun Piala Malaysia, kelab-kelab penyokong Harimau Selatan pastinya tidak melepaskan peluang membanjiri SNBJ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!