LPP mohon jentera pertanian layat terima subsidi diesel
ALOR SETAR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan mempertimbangkan agar jentera pertanian dimasukkan dalam kategori layak menerima subsidi diesel bagi meringankan beban petani.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu perlu dilaksanakan segera terutama bagi jentera penuai padi kerana musim menuai akan bermula awal bulan depan.
"Saya harap kerajaan dapat segera buat pertimbangan bagi mengatasi masalah ini. Jika tidak, kita mungkin akan sekali lagi berdepan krisis 'kehilangan' beras tempatan dari pasaran.
"Kita percaya kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan rakyat keseluruhan. Bagi saya kadar baharu upah jentuai itu terlalu tinggi dan kerajaan perlu segera memasukkan jentera pertanian seperti jentuai dan pembajak sebagai penerima subsidi diesel," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kibar Jalur Gemilang di Masjid An Nur di sini pada Khamis.
Pada masa ini golongan petani resah apabila pengusaha jentera penuai padi bercadang untuk menaikkan kadar upah kepada RM200 serelung (0.3 hektar) berbanding antara RM130 hingga RM140 sebelum ini.
Mahfuz berkata, LPP memahami masalah yang dihadapi para petani kerana ia juga memiliki jentera penuai yang dioperasikan oleh bahagian kejuruteraan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
"Walaupun kami agensi kerajaan, kami juga terkesan. Kos kami pun meningkat, namun seperti dinyatakan tadi, kita percaya kerajaan sedia mendengar rintihan petani.
"Pengusaha swasta pula janganlah naikkan kadar sewa jentuai terlalu tinggi hingga membebankan para petani,” katanya.
LPP juga telah diberikan tugas oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyiapkan kertas kerja mengenai masalah dihadapi semua pihak berkaitan kos perbelanjaan bagi menghasilkan tanaman padi, tambah beliau.
"Semua ini ialah usaha kerajaan untuk membantu menilai semula tindakan yang boleh membantu golongan pesawah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!