Pasang CCTV, wujudkan penggera pada lif lama bila ada kerosakan

Lam Thye (Laporan Sinar Harian)
Lam Thye (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak pengurusan perumahan perlu memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan mewujudkan penggera apabila berlaku kerosakan agar insiden tersangkut dalam lif lama yang dialami dua kanak-kanak baru-baru ini tidak berulang.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, apabila lif rosak atau tersangkut, bunyi penggera yang dihasilkan mampu menyedarkan penduduk setempat lalu melaporkannya kepada pengurusan untuk tindakan lanjut.

Menurut aktivis sosial itu, memasang CCTV juga antara langkah keselamatan yang wajar dipertimbangkan supaya lif boleh dipantau secara rapi oleh pihak pengurusan.

"Teguran perlu diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penyelenggaraan bangunan khususnya lif.

"Jadikan insiden tersangkut dalam lif sebagai iktibar kepada pihak yang menjaga penyelenggaraan lif sama ada daripada pemaju hinggalah pengurusan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki yang pada mulanya disangka hilang, rupa-rupanya terperangkap kira-kira sembilan jam dalam lif pangsapuri di Taman Desa Petaling, Cheras pada Isnin.

Ibu saudara salah seorang kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Ina berkata, anak saudaranya berusia 10 tahun keluar dari rumahnya di Flat Desa Petaling untuk membeli pau dan berjumpa rakannya di Apartmen Pangsaria berhampiran.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang berusia 10 dan 11 tahun itu ditemui selamat selepas lif terbuka sendiri dan terus bergegas pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lam Thye berpandangan, kejadian tersebut mungkin memberikan trauma dahsyat kepada kanak-kanak berkenaan kerana terperangkap dalam lif untuk satu tempoh masa yang lama.

Tambah beliau, ia menunjukkan bahawa aspek keselamatan lif di kawasan pangsapuri berkenaan berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

"Bayangkan selama 11 jam tidak dapat dipantau sedangkan malapetaka ini boleh dielakkan sekiranya CCTV diteliti dengan baik.

"Seperkara lagi yang melibatkan insiden lif ini membuatkan kita terfikir adalah kenapa dalam tempoh 11 jam itu tak mampu beri kesedaran kepada pihak penyelenggaraan untuk segera mengesan dan membaiki lif tersebut.

"Mujurlah tidak berlaku kematian kepada dua kanak-kanak ini, Jika tidak, ia akan jadi satu isu yang tular dan besar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!