Che Adam fokus jayakan misi derma darah solo ke seluruh negara

Che Adam menunjukkan aktiviti menderma darahnya sebanyak 96 kali yang direkodkan melalui buku rekod derma darah dan aplikasi MySejahtera
Che Adam menunjukkan aktiviti menderma darahnya sebanyak 96 kali yang direkodkan melalui buku rekod derma darah dan aplikasi MySejahtera
A
A
A

KUANTAN - Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman kini sedang melengkapkan misi menderma darah secara solo ke 15 lokasi di seluruh negara.

Pemegang rekod rakyat Malaysia pertama menderma darah tahun lalu itu berkata, misi derma darah solo yang dimulakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada September tahun lalu antara usahanya dalam mempromosikan kempen budaya menderma darah kepada masyarakat terutama penderma baharu dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, misinya itu telah disempurnakan di enam negeri Pantai Timur dan Utara dengan destinasi terakhir setakat ini di Pulau Pinang pada 1 Ogos lalu.

"Misi ini akan diteruskan ke zon tengah bermula dengan Perak seterusnya ke zon Selatan, Sabah dan Sarawak.

"Insya-ALLAH sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan, misi ini akan berakhir di Pusat Darah Negara pada 2026," katanya ketika ditemui pada Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Che Adam yang kini sudah 96 kali menderma darah sejak berusia 19 tahun.

Che Adam hadir memberikan sokongan kepada anggota APM yang menderma darah sempena Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka di sebuah hotel pada Khamis.
Che Adam hadir memberikan sokongan kepada anggota APM yang menderma darah sempena Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka di sebuah hotel pada Khamis.

Beliau berkata, hanya tinggal sembilan destinasi lagi bagi melengkapkan misi untuk rekod derma darah peribadinya kali yang ke-105 itu.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar supaya misi derma darah ini dapat terus dilakukan secara konsisten setiap dua atau tiga bulan sekali.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, cergas dan hemoglobin darah juga baik untuk terus menderma darah," katanya.

Che Adam berkata, aktiviti menderma darah itu tidak terhenti selepas misi solonya selesai sebaliknya dia berhasrat untuk meneruskan lagi pada masa akan datang secara berkumpulan pula.

Menyentuh tentang Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka, Che Adam berkata, ia usaha kecil membantu mengumpul bekalan darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.

"Ia juga menjadi sebahagian inisiatif pihak APM dalam menyokong promosi dan kempen derma darah selain menarik penderma baharu dalam kalangan masyarakt terutama generasi muda menjadikan aktiviti itu sebagai rutin.

"Untuk program ini kita sasarkan 100 penderma termasuk dalam kalangan anggota APM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!