Wanita diserang sawan terjatuh dalam air
SANDAKAN - Seorang wanita yang diserang sawan nyaris lemas selepas terjatuh dari lubang lantai rumahnya dalam kejadian di perkampungan atas air di Jalan Buli Sim-Sim Jambatan 23, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Nor Faezah Rizan Ensi, 34, sempat diselamatkan ahli keluarganya sebelum pasukan bomba tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.24 pagi menerusi talian kecemasan 999.
"Menurut saksi, mangsa mengalami sawan dan terjatuh ke dalam air melalui lubang lantai rumahnya.
"Mangsa yang separa sedar segera diselamatkan oleh ahli keluargaya dan dibawa naik ke darat dengan bantuan penduduk kampung dan pasukan bomba yang baru tiba di lokasi tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya lagi, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Sandakan.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.55 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!