'Muhyiddin macam gila talak, dia rasa dia layak' - Mahfuz
POKOK SENA - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan seperti gila talak kerana masih lagi bercakap tentang proses pemilihan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan yang telah berlalu hampir dua tahun lalu.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pengerusi Perikatan Nasional itu tidak seharusnya menyingkap kembali perkara tersebut kerana Kerajaan Perpaduan sudah pun ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
Menurutnya, Muhyiddin juga tidak mendapat kepercayaan di dalam parlimen kerana undi percaya majoriti ahli Parlimen telah memihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember 2022.
"Dia (Muhyiddin) dah pernah jadi Perdana Menteri, dia merasakan bahawa dia masih lagi layak. Jadi bagi saya macam orang gila talak lah.
"Gila talak begitulah, dia nak rasa dia nak balik ke situ, dia rasa dia layak. Ini masalah lah kepada negara kita, bila kita rasa diri kita paling sempurna jadi pemimpin," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Terdahulu, Mahfuz hadir pada Program Kibar Jalur Gemilang di Tapak Parkir An-Nur, di sini.
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kedah itu berharap agar tiada lagi mana-mana pihak mempertikaikan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam melantik Perdana Menteri ke-10.
Menurutnya, baginda tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
"Al Sultan Abdullah juga meminta pandangan Sultan-Sultan dan Raja Negeri serta melihat semua fakta-fakta di hadapan baginda sebelum memutuskan keputusan," ujarnya.
Pada Rabu, Muhyiddin dirakam keterangannya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!