Ibu tunggal didenda RM2,000 guna IC palsu ketika hendak bersalin
IPOH - Seorang ibu tunggal dihukum denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu sewaktu bersalin, Mei lepas.
Tertuduh, Aishah Ramalinggam, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, dalam kejadian 2.30 pagi itu tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu seorang wanita bernama Liza Baizurah Suliman, 38, di dewan bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dalam daerah Kinta pada 6 Mei lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2007 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau dipenjara dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, G Harbhajan Singh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!