Helah warga asing pandu lori guna nombor pendaftaran lain

Erick (kanan) menunjukkan lori yang disita dalam Ops PeWA di sini pada Khamis.
Erick (kanan) menunjukkan lori yang disita dalam Ops PeWA di sini pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - Helah seorang lelaki warga asing yang memandu lori Roll-On-Roll-Off (RORO) dengan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain untuk mengelak ditahan pihak berkuasa mengundang padah apabila lori tersebut disita dalam Operasi Khas Pengarah-Pemandu Warga Asing (PeWA) di sini pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, semakan mendapati pemandu itu mengunakan nombor pendaftaran lori lain daripada syarikat sama pada kenderaan tersebut.

"Pemerikasaan lanjut mendapati lori berkenaan tiada insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Lori tersebut antara 71 kenderaan disita termasuk 66 buah motosikal. Siasatan lanjut ke atas lori berkenaan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada sidang akhbar di Tasek Tambahan, di sini, pada Khamis.

Erick berkata, pihaknya mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama tidak memiliki lesen memandu.

"Sebanyak 1,112 kenderaan diperiksa dalam operasi itu sehingga jam 1 tengah hari, daripada jumlah tersebut sebanyak 189 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 374 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada insurans serta kesalahan teknikal.

Beliau berkata, seramai 71 warga asing ditahan dalam operasi itu

Artikel Berkaitan:

Antara penunggang motosikal warga asing yang diperiksa dalam Ops PeWA di sini pada Khamis.
Antara penunggang motosikal warga asing yang diperiksa dalam Ops PeWA di sini pada Khamis.

"Mereka yang ditahan adalah penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk dari Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh, Turkiye dan Indonesia," katanya.

Erick berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada motosikal yang telah diubahsuai (tambahan side car), kenderaan milik warga tempatan yang disewa dan kenderaan perdagangan seperti lori dan RORO yang dikendalikan oleh warga asing untuk aktiviti perniagaan.

"Kami ingin menegaskan kepada semua pemlik kenderaan berdaftar agar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen dan menyalahgunakan LKM bagi tujuan perniagaan.

"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan berdaftar tersebut," katanya.

Beliau berkata, mana-mana warga asing yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan, dikenakan tindakan dibawah Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesalahan mengubahsuai bentuk dan peralatan kenderaan pada kenderaan (kesalahan teknikal) akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 6(1) (Larangan bagi kenderaan- kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kenderaan yang tiada perlindungan insurans, tindakan bawah Seksyen 90(1) (Pembawa kenderaan motor hendaklah diinsuranskan terhadap risiko pihak ketiga) Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan," tegasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan advokasi dan khidmat nasihat sentiasa diutamakan oleh setiap anggota bertugas dengan harapan supaya semua pengguna jalan raya dapat memahami peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Keselamatan jalan raya bukanlah perkara yang boleh diambil ringan kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!