Sindiket jenayah 'kaunter khas' beri kesan buruk aspek keselamatan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket jenayah menyeludup masuk warga asing melalui 'kaunter khas' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi kesan buruk dari segi aspek keselamatan dan politik negara

Presiden Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG), Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, ia membabitkan isu ⁠rasuah untuk membawa masuk warga asing itu tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.

"Mereka yang terlibat disyaki mahu hidup mewah melalui jalan tidak halal, menyalahgunakan kuasa atau kuasa 'budi bicara' yang ada, sistem tiris dan tiada pengawasan efektif.

"Ini disebabkan ada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang tiada integriti serta sanggup menggadai maruah negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Akhbar berkata, tiada pengawasan yang baik dilaksanakan oleh pihak atasan termasuk di KLIA terhadap pegawai terbabit

"JIM perlu menempatkan pegawai yang tinggi akhlak dan bertugas demi negara, bukan kepentingan sendiri," katanya.

Beliau berkata, pihak berkenaan juga perlu melaksanakan 'spot check' oleh pasukan khas dari ibu pejabat dari semasa ke semasa.

"Jabatan berkenaan juga boleh 'rotate' pegawai yang kerja di tempat 'high risk' secara kerap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan JIM mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pegawainya yang terlibat dengan kes 'kaunter khas' di KLIA.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama terbaik secara telus dan adil.

Menurutnya, JIM sama sekali tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana pejabat JIM di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik serta imej jabatan dan negara.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tindakan penguat kuasa yang menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan warga asing ke negara ini membawa padah apabila modus operandi 'setting' kaunter dibongkarkan menerusi Ops Pump.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendedahkan, sindiket terbabit dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kemasukan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal secara tidak sah.

Siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!