'Pendang nombor satu, Machang kedua paling ramai penagih dadah' - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pada "PDRM Special Dialogue" di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Khamis. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pada "PDRM Special Dialogue" di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Daerah paling tinggi mempunyai kes dadah akan menjadi sasaran utama pihak penguat kuasa untuk menangani isu tersebut secara lebih komprehensif dalam tempoh enam bulan ke hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menerima data terkini jumlah penagih di negara ini dan penjurusan kes mendapati daerah Pendang, Kedah mempunyai jumlah tertinggi penagih berdasarkan nisbah 100,000 orang penduduk.

Beliau berkata, daerah Pendang mencatat lebih daripada 1,300 penagih dadah, berbanding kadar nisbah ideal iaitu sekitar 400 orang.

Kata beliau, daerah kedua tertinggi mempunyai kumpulan penagih dadah adalah di Machang, Kelantan dan diikuti Marang, Dungun, Kemaman serta Besut di Terengganu.

"Sumber data kumpulan penagih dadah ini kita peroleh daripada empat sumber iaitu Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pusat pemulihan narkotik swasta.

"Kita tidak akan mensia-siakan data yang ada ini dan perancangan menerusi pendekatan baharu akan dilaksanakan di daerah-daerah tersebut bagi menangani isu dadah dengan lebih baik.

"Setelah lebih empat dekad negara berusaha memerangai isu dadah, elemen baharu yang digunakan harus berbeza berbanding cara lama," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Dialog Khas PDRM II sempena Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2024 (AISSE24).

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PDRM bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kerjasama strategik.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat beberapa faktor menjadi penyumbang kepada kegiatan penagihan dadah di negara ini.

Menurut beliau, aspek pendidikan, faktor pekerjaan serta latar belakang keluarga menjadi penyebab berlakunya kes penagihan dadah dalam masyarakat.

Sehubungan itu katanya, kaedah atau langkah seterusnya yang perlu digerakkan oleh agensi penguat kuasa adalah mengenal pasti sasaran berdasarkan data diperoleh.

Jelasnya, berdasarkan kemajuan teknologi dan perkembangan penghasilan dadah sintetik, cara menangani perkara itu juga perlu berbeza.

"Kita perlu melakukan perancangan yang lebih spesifik berdasarkan garis masa ditetapkan dan menggunakan kemahiran pihak pakar dalam menangani isu dadah di negara ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!