KUSKOP sasar produk PMKS tembusi pasaran antarabangsa
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi(KUSKOP) bercadang mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana(PMKS) ke pasaran luar negara pada masa hadapan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan lebih besar diperlukan dalam Belanjawan 2025 bagi membolehkan ia dilaksanakan termasuk beberapa cadangan lain yang bertujuan memperkasakan PMKS.
"Pada 27 Ogos ini kita akan adakan sesi khas dengan pasukan Bajet 2025 di Kementerian Kewangan untuk mengemukakan cadangan dan inisiatif baharu.
"Salah satu cadangan kita adalah bagaimana mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan kita iaitu dengan membawa usahawan ke ekspo-ekspo luar negara,"katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan kilang baharu syarikat peneraju industri air mineral beroksigen Bubbles O2 Sdn Bhd (Bubbles O2) di Kampung Kanchong di Rantau, di sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Datuk Hazimah Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan lebih besar dapat diberikan kepada kementerian itu menerusi Belanjawan 2025 dengan mengambil kira keperluan dan cadangan yang akan dibentangkan nanti.
Ewon berkata, bagi Belanjawan 2024, KUSKOP menerima peruntukan sebanyak RM778.8juta dengan sebahagian besarnya digunakan untuk membantu dan membangunkan usahawan PMKS melalui beberapa agensi di bawah kementerian. itu
"Kementerian akan cari inisiatif membangunkan program-program untuk usahawan dan mudah-mudahan dalam Belanjawan 2025 ini KUSKOP dapat diperkukuhkan dengan belanjawan sebaiknya.
"Ia bukan hanya dapat membangunkan PMKS dalam negara melalui pemberian geran dan sebagainya tetapi juga bagaimana kementerian dapat mengantarabangsakan produk-produk dan perkhidmatan kita.
Beliau berkata, pihaknya percaya ia dapat meningkatkan prestasi PMKS termasuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai eksport dan peluang pekerjaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!