Koronavirus: Dua ditahan sebar berita tidak benar di Thailand
BANGKOK - Dua orang ditahan di Thailand kerana didakwa menyebarkan berita tidak benar mengenai wabak novel koronavirus, kata Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat semalam, lapor agensi berita Xinhua.
"Kami memantau rapat berita dan khabar angin mengenai wabak koronavirus di media sosial dan media dalam talian melalui Pusat Anti Berita Tidak Benar Thailand untuk memastikan orang ramai menerima berita sahih sahaja dan tidak menyebabkan panik," kata menterinya, Buddhipongse Punnakanta.
Menurutnya, pihaknya juga mendapati terdapat banyak berita tidak benar mengenai novel koronavirus dan sedang bekerjasama dengan Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi (TCSD) untuk menyiasat dan menangkap pesalah.
Beliau berkata, buat masa ini, TCSD telah mengenal pasti 15 sumber berita tidak benar menerusi media sosial dan media dalam talian.
"Selepas siasatan dijalankan, kami mendapati enam sumber berita itu telah melanggar akta jenayah berkaitan komputer," katanya.
Menurut akta itu, memuat naik maklumat tidak benar boleh menjejaskan keselamatan negara dan orang awam atau mencetuskan panik.
Kata menteri itu, dua daripada enam pesalah telah ditahan dan didakwa.
"Empat pesalah lain didapati tidak berniat untuk menimbulkan kebimbangan dan dibebaskan dengan amaran," kata Buddhipongse. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!