Tiada kes mpox, Johor ambil langkah siap siaga - Exco

A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada sebarang kes mpox atau cacar monyet yang dilaporkan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC ) berlaku di Johor setakat ini.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sentiasa bersiap sedia mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox peringkat negeri sekiranya terdapat arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung yang menjangkakan virus itu akan tiba di republik berkenaan berikutan terdapat sambungan penerbangan dari Asia Barat dan Eropah ke Singapura.

Jelasnya, JKNJ kini sudah bersiap siaga sebagai respons kepada kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa atau PHEIC yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"JKNJ juga akan memperkukuhkan semula aktiviti saringan kesihatan awam di setiap pintu masuk antarabangsa dan fasiliti kesihatan di negeri ini sebagai langkah berwaspada

"Latihan dan taklimat kepada anggota kesihatan di lapangan bagi tujuan pengesanan awal kes, isolasi dan rawatan juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, JKNJ juga akan meningkatkan kesedaran awam dan membuat hebahan maklumat berkaitan mpox.

"Aktiviti bertumpu kepada golongan sasaran bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau anggota kesihatan menjalankan tugas di komuniti untuk memberi kesedaran kepada yang berisiko untuk hadir ke klinik pencegahan HIV, Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP),

Artikel Berkaitan:

"Ia termasuk menerusi poster, video dan webinar disasarkan kepada golongan berisiko tinggi menggunakan media sosial," katanya.

WHO pada 14 Ogos lalu mengisytiharkan mpox atau cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Sebanyak 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian dilaporkan berlaku sejak Januari 2023, sebahagian besarnya menjejas kanak-kanak.

Julai lalu, lebih 100 kes varian baharu dilaporkan di empat negara jiran Republik Demokratik Congo yang tidak pernah melaporkan cacar monyet sebelum ini iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.

Sehingga kini, semua jangkitan yang dikesan di Singapura adalah yang lebih ringan atau tergolong dalam varian clade II. Kebanyakannya berlaku semasa wabak global antara 2022 dengan 2023.

Singapura merekodkan 12 kes cacar monyet sejak Januari 2024, yang disahkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), dengan kedua-duanya membabitkan varian clade II.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!