Rasuah: Ketua sindiket judi dalam talian didenda RM6,600

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

TAWAU - Ketua sindiket judi dalam talian dan nombor ekor dikenali sebagai Kumpulan Sabah97 didenda RM6,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan gagal melaporkan kegiatan rasuah bagi melindungi sindiket judi haram, tiga tahun lepas.

Hakim Jason Juga turut memerintahkan Tai Nyuk Kong, 45, dipenjara sembilan bulan, jika gagal membayar denda itu. Tai menjelaskan denda itu.

Tertuduh didakwa gagal melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis berkaitan suapan berjumlah RM1,100 kepada beberapa pegawai polis melalui pekerjanya sebagai balasan tidak mengganggu aktiviti menjual tiket judi haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 April hingga 2 Jun 2021 di beberapa bank iaitu Maybank cawangan Tawau dan Lahad Datu serta Bank Simpanan Nasional Tawau.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Tai telah mengarahkan pekerjanya membayar wang rasuah antara RM200 hingga RM500 kepada anggota polis untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti haram melibatkan sindiket judi atas talian dan ekor miliknya di sekitar Tawau.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!