KDN dapatkan laporan terperinci pengambilan pekerja dari Bangladesh

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius berhubung siasatan Agensi Antirasuah Bangladesh terhadap empat bekas ahli Parlimen kerajaan negara itu yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil berat berhubung perkara terbabit kerana ia dipercayai turut melibatkan penghantaran pekerja dari negara itu ke Malaysia.

Menurutnya, nilai penipuan bagi kes tersebut dianggarkan berjumlah 24,000 Taka Bangladesh (RM8.9 bilion) termasuk proses penghantaran tenaga kerja ke negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, KDN akan meminta pihak terlibat memberikan laporan lengkap serta menyeluruh berhubung isu terbabit bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.

"Menerusi Wisma Putra, KDN akan meminta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh supaya menyediakan maklumat terperinci dan terkini mengenai perkara tersebut.

"Tentunya KDN juga akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia kerana pemberian kuota pengambilan tenaga kerja asing itu dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

"Saya juga akan mendapatkan agensi di bawah kementerian terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana urusan pengeluaran visa adalah di bawah kawal selia jabatan itu," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Dialog Khas PDRM II sempena Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2024 (AISSE24).

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PDRM bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kerjasama strategik.

Terdahulu, Dhaka Tribune pada Rabu memetik sumber menyatakan sindiket penipuan itu melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal dan beberapa bekas ahli Parlimen iaitu Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan, sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh setahun.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pendedahan itu menuntut KDN memberi perhatian serius berhubung isu terbabit.

Ini kerana menurutnya, pengambilan pekerja asing adalah perkara penting terutama memenuhi permintaan di lima sektor kritikal.

Jelas beliau, sekiranya perkara itu tidak diatasi sebaiknya, ia boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!