LPP saran jentera pertanian layak terima subsidi diesel

MAHFUZ
MAHFUZ
A
A
A

POKOK SENA - Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan supaya jentera pertanian dapat dimasukkan di dalam kategori layak menerima subsidi diesel bagi membantu dalam meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh pesawah.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan pengusaha jentera penuai yang mahu menaikkan kadar upah kepada RM200 bagi kawasan seluas 0.3 hektar berbanding antara RM130 hingga RM140 sebelum ini meresahkan golongan pesawah.

Menurutnya, langkah menyenaraikan jentera pertanian agar layak menerima subsidi perlu dilakukan segera berikutan musim menuai bakal menjelang pada awal bulan hadapan.

"Kita percaya kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan rakyat keseluruhan. Bagi saya kenaikan hingga RM200 itu terlalu tinggi dan kerajaan perlu segera memasukkan jentera pertanian seperti jentuai dan pembajak sebagai penerima subsidi diesel supayaa tidak membebankan petani.

"Saya harapkan kerajaan dapat buat pengumuman segera atau setidak-tidaknya memasukkannya dalam pengumuman Belanjawan 2025 nanti," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa pengusaha yang mendakwa kenaikan kadar sewa mesin jentuai padi di Kedah dan Perlis daripada RM140 kepada RM200 bagi 0.3 hektar sawah adalah relevan untuk mengimbangi peningkatan pelbagai kos ketika ini.

Terdahulu, Mahfuz hadir pada Program Kibar Jalur Gemilang di Tapak Parkir Masjid An-Nur, Pokok Sena.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LPP turut memahami situasi yang dihadapi oleh para pengusaha jentera pertanian kerana agensi itu juga turut memiliki jentera penuai di bahagian kejuruteraan, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai agensi kerajaan, agensi itu juga terkesan akibat kos meningkat namun pihaknya percaya kerajaan akan bersedia mendengar rintihan pesawah.

“Pengusaha swasta juga janganlah naikkan kadar sewa mesin jentera penuai yang tinggi dengan alasan peningkatan harga alat ganti naik berkali ganda kerana membebankan petani,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!