Wira Olimpik negara terima SUV
WIRA Olimpik negara iaitu beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menerima habuan kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada Chery Malaysia selepas kejayaan memenangi gangsa di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.
Aaron-Woi Yik meraih gangsa dalam acara beregu lelaki selepas menewaskan pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup manakala Zii Jia menundukkan pemain India, Lakshya Sen.
Aaron-Woi Yik menerima hadiah tersebut dalam satu majlis diadakan di Puchong pada Khamis yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Bagaimanapun, Zii Jia tidak dapat hadir pada majlis itu dan menghantar wakil untuk menerima hadiah tersebut.
Dalam pada itu, Aaron berterima kasih kepada Chery yang memberikan sokongan penuh kepada atlet.
"Saya menghargai sokongan daripada Cherry. Hadiah kereta ini sudah tentu bermakna untuk saya gunakan dan sesuai untuk saya yang berkeluarga," katanya.
Wooi Yik turut menghargai sumbangan syarikat kepada atlet dan dalam masa sama melihat hadiah tersebut sebagai pemangkin semangat untuk atlet lain tampil lebih bagus di pentas dunia.
Menurutnya, dia tidak akan menggunakan kereta tersebut sebaliknya menghadiahkan kepada keluarga.
Dalam pada itu, Hannah turut menggalakan lebih banyak sektor swasta memainkan peranan memberi ganjaran kepada atlet yang cemerlang di pentas antarabangsa.
"Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat.
"Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!