Muhammad Fakrul pecah rekod 400m lari berpagar kebangsaan

Muhammad Fakrul (dua, kanan) ketika beraksi dalam acara 400m lari berpagar lelaki di Stadium Sarawak pada Khamis. Foto Bernama
Muhammad Fakrul (dua, kanan) ketika beraksi dalam acara 400m lari berpagar lelaki di Stadium Sarawak pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

ATLET pelapis kebangsaan, Muhammad Fakrul Afizul Nasir muncul atlet pertama melebur rekod kebangsaan olahraga Sukan Malaysia (Sukma) 2024 pada Khamis.

Muhammad Fakrul yang mewakili Kelantan tiba di garisan penamat dengan bergaya melakukan catatan 51.11 saat (s) acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki, memadam rekod miliknya 51.26s, yang dilakukan tahun lepas.

Catatan itu juga membolehkannya memperbaharui rekod temasya 51.79s milik Mohd Zafril Mohd Zuslaini dari Pahang yang dirakam pada 2004 di Negeri Sembilan.

Pingat perak acara itu dimenangi Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar dari Johor dengan masa 53.20s manakala wakil Wilayah Persekutuan, Emmanuel Muphy Josbert melakar 53.50s untuk gangsa.

Pada Jun tahun lepas, Muhammad Fakrul mencipta sensasi apabila meleburkan rekod 400m lari berpagar kebangsaan berusia 18 tahun iaitu 51.28s dilakukan Mohd Shahadan Jamaluddin pada Sukan SEA 2005.

Atlet berusia 20 tahun itu mencipta rekod 51.26s pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Korea Selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!