Keputusan jaminan 14 individu kes culik lelaki Palestin 3 Oktober

Keputusan sama ada 14 individu yang didakwa menculik lelaki warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy boleh diberi ikat jamin atau sebaliknya, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Oktober depan. Foto fail Bernama
Keputusan sama ada 14 individu yang didakwa menculik lelaki warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy boleh diberi ikat jamin atau sebaliknya, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Oktober depan. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada 14 individu yang didakwa menculik lelaki warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy boleh diberi ikat jamin atau sebaliknya, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Oktober depan.

Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas peguam-peguam yang mewakili 14 tertuduh selaku pemohon dan pihak pendakwaan sebagai responden, selesai membuat hujahan dalam prosiding permohonan ikat jamin.

Dalam prosiding berkenaan peguam, Norma Goh Kim Lian hadir bagi pihak 10 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51 dan Mohd Azwan Jamaludin, 39.

Sementara peguam, Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidarahayu Zainal, 36; peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan bertindak bagi pihak Raibafie Amdan, 41; peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli untuk Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi; 25, dan peguam Navinjit Singh bagi Edy Ko'im Said, 42.

Pembelaan menghujahkan bahawa, semua anak guam wajar dilepaskan dengan jaminan kerana kes yang dihadapi semua tertuduh, tidak melibatkan keganasan, kecederaan dan wang tebusan.

Bagaimanapun, responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad membantah hujahan terbabit dengan alasan, semua tertuduh mempunyai risiko untuk melarikan diri.

"Dibimbangi juga, mereka mungkin mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan mangsa untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam 28 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kesemua tertuduh untuk kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Jan lalu dan kesemua tertuduh membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!