Pemuda Pahang mahu penjelasan Titah Adendum Najib wujud atau tidak
KUALA LUMPUR - Perwakilan Pahang meminta kepimpinan tertinggi UMNO memberi penjelasan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Setiausaha Pemuda UMNO Pahang, Mohd Azly Norzan berkata, ini kerana perkara tersebut masih tergantung dan mencetuskan persoalan sehingga kini.
“Pemuda Pahang ingin bertanya terus, wujud atau tidak Titah Adendum penahan di rumah (untuk Najib). Jika wujud, katakan wujud dan jika tidak wujud, nyatakan tidak wujud.
“Kami Pemuda Pahang boleh teruskan perjuangan Titah Adendum ini sebab ia isu bukan sekadar melibatkan Datuk Seri Najib (tetapi juga) melibatkan pelanggaran terhadap Rukun Negara.
“Ini boleh jadi kes yang sangat serius apabila titah Yang di-Pertuan Agong itu sendiri seolah-olah dipermainkan bahkan jika berdiam diri dan dibiarkan perkara ini berlalu (sedangkan) ia boleh menjadi duluan atau precedent yang boleh dirujuk mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong mahu pun Raja-Raja Melayu selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Sementara itu, Mohd Azly menambah, kepimpinan tertinggi parti juga perlu memberi jawapan sama ada Titah Adendum yang ditunjukkan kepada Ahmad Zahid itu sah atau sebaliknya.
“Saya menyeru kepada semua kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO supaya membawa usul Pemuda Pahang ini ke atas dan pastikan persoalan yang kami perjuangkan ini ada jawapan,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan sekiranya perkara ini masih tergantung tanpa jawapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!