'Sakit kesan tembakan masih dirasai' - Sarjan Mohd Hasif
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, masih sukar dilupakan Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38.
Mohd Hasif merupakan satu-satunya anggota polis yang terselamat dalam tragedi yang mengorbankan dua anggota yang juga rakannya iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Koperal Muhammad Syafiq Ahmad Said.
Dalam kejadian itu, Mohd Hasif cedera di bahagian bahu dan pinggul kiri ketika berbalas tembakan penyerang dalam insiden tersebut.
Mohd Hasif berkata, selepas hampir empat bulan peristiwa itu berlaku, dia masih lagi merasa sakit terutama bahagian kiri bahunya akibat ditembak.
"Ada masanya, saya terkenang detik hitam itu. Bagaimanapun dorongan dan sokongan keluarga dan rakan sekerja membangkitkan semangat saya untuk terus bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkhidmat kepada masyarakat.
"Kesan tembakan yang menembusi di bahagian bahu dan pinggul itu masih terasa kebas dan bisanya, bila hendak sarung pakaian atau bergerak kadang-kadang terasa sakitnya.
"Saya kuatkan semangat melawan keadaan itu, kini keadaan kesihatan saya sudah mencapai tahap 75 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) kepada anggota tercedera dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Tinggi, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin; Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Hussin Zamora.
Mohd Hasif memberitahu insiden terbabit tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjuang sebagai anggota polis demi berkhidmat kepada masyarakat.
Bercerita lanjut, Mohd Hasif yang kini bertugas di IPD Kota Tinggi memberitahu masih menjalani rawatan susulan iaitu fisioterapi di Hospital Kota Tinggi.
"Pemergian Allahyarham Azza Fahmi dan Allahyarham Syafiq yang sudah dianggap sebagai adiknya itu kini menjadi penguat semangat untuk saya.
"Azza Fahmi dan Syafiq juga mempunyai hubungan rapat dengannya dan sering ditugaskan melakukan rondaan bersama.
"Saya merasa kehilangan mereka berdua. Azza Fahmi lebih ceria dan kami banyak bersukan bersama manakala Syafiq lebih pendiam," ujarnya.
Sementara itu, Meor Chek Hussien berkata, pihaknya sudah menyampaikan sumbangan RM34,000 kepada dua anggota yang terkorban dan juga Mohd Hasif hasil kutipan derma daripada pihaknya, orang ramai dan korporat.
Katanya, sebanyak RM13,000 masing-masing disumbangkan kepada dua keluarga yang terkorban itu manakala RM,8,000 kepada Mohd Hasif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!