Peruntukan RM50 juta dana Celik Kewangan Belia Madani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 dan Penjenamaan logo Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Setia City Convention Centre (SCCC) pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 dan Penjenamaan logo Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Setia City Convention Centre (SCCC) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan Inisiatif Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani sempena penjenamaan semula Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

PNB dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu menyasarkan pendaftaran satu juta pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian vokasional baharu.

"Mereka akan diberikan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM50 seorang, hasil sumbangan bersama antara kerajaan Malaysia, PNB dan syarikat korporat, dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM50 juta," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, inisiatif diperkenalkan pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Presiden selaku Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika melawat tapak pameran di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika melawat tapak pameran di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.

PNB dalam kenyataan sama berkata, inisiatif itu juga bertujuan untuk memastikan golongan belia mula merancang kewangan pada usia muda dan secara terus membantu mengukuhkan kedudukan kewangan apabila terus menyimpan dan melabur bersama ASNB walaupun selepas tamat pengajian.

"Matlamat ini adalah untuk membangunkan tahap celik kewangan generasi masa depan Malaysia, memperkasakan mereka dengan alat kewangan asas agar dapat membuat keputusan kewangan yang termaklum pada masa hadapan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, 50 peratus daripada jumlah sumbangan RM50 kepada setiap pelajar adalah sumbangan daripada kerajaan Malaysia, manakala baki RM25 akan ditaja oleh PNB dan syarikat korporat lain.

"Berdasarkan mekanisme inisiatif tersebut, RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) pelajar IPTA, di mana nilai ini akan dikunci bagi tempoh lima tahun.

Majlis Perasmian MSAM 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.
Majlis Perasmian MSAM 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.

"Sepanjang fasa ini, pelajar akan digalakkan untuk membuat simpanan berulang yang kecil setiap bulan untuk memupuk tabiat menabung.

"Berasaskan sumbangan nilai pelaburan percuma sebanyak RM50 dan diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun, di mana apabila pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama empat tahun sepanjang tempoh pengajian dan nilai simpanan ditambah ke RM100 sebulan ketika mula bekerja, mereka akan mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat," ujarnya.

PNB berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini akan diselaraskan oleh ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

"ASNB akan bekerjasama dengan IPTA, institusi pengajian vokasional serta penaja korporat untuk pendaftaran pelajar baharu sebagai pemegang unit ASNB dan menganjurkan kempen celik kewangan untuk pelajar," kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!