Aaron-Wooi Yik, Zii Jia terima RM100,000, pencen RM2,000 sebulan
BEREGU negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia akan menerima wang tunai RM100,000 dibawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa pada Olimpik Paris baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Aaron-Wooi Yik juga akan menerima RM100,000 seorang walaupun sebelum ini mereka perlu berkongsi hadiah wang tunai tersebut.
Menurutnya, selain wang tunai tersebut, Aaron-Wooi Yik serta Zii Jia juga akan menerima pencen sebanyak RM2,000 seumur hidup bermula bulan depan.
"Sebelum ini diumumkan untuk pemenang gangsa akan diberikan RM100,000. Tetapi, untuk mereka (Aaron-Wooi Yik), ini kali kedua mereka membawa pulang pingat.
"Jadi, ia satu keputusan yang tepat untuk memberikan mereka RM100,000 seorang," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hadiah Kereta SUV Chery di Puchong pada Khamis.
Pada Suka Olimpik Paris baru-baru ini, Aaron-Wooi Yik meraih gangsa selepas menewaskan pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup manakala Zii Jia menundukkan pemain India, Lakshya Sen.
Dalam pada itu, Hannah turut mengumumkan Zii Jia akan diberikan geran tambahan sebanyak RM100,000 untuk pemain berusia 26 tahun itu membuat persiapan dalam pertandingan akan datang.
"Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberikan RM50,000 kepada Zii Jia sebelum Olimpik Paris dan kini kami tambah lagi RM100,000 untuk dia membuat persiapan.
"Jadi, jumlah keseluruhan geran RM150,000 daripada MSN untuk Zii Jia," katanya.
@sinarharianonline Aaron-Wooi Yik, Zii Jia terima RM100,000, pencen RM2,000 sebulan #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Sukan #Badminton #Olimpik #Paris #Atlet #AaronWooiYik #ZiiJia #Pencen
News - ComaStudio
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!