‘Kembalikan suntikan vaksin HPV percuma’

Nurul Amal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.
Nurul Amal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mengembalikan semula inisiatif suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) percuma untuk wanita 18 tahun ke atas kepada mereka yang layak.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kerajaan kini perlu memberi perhatian terhadap kesihatan wanita seperti dahulu ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang begitu peka akan isu berkenaan.

Menurutnya, kerajaan terdahulu pernah mengadakan inisiatif untuk wanita berusia 18 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan HPV dan ujian mamogram secara percuma di Malaysia.

“Inisiatif ini malangnya telah dihentikan selepas pertukaran pentadbiran tetapi hak kesihatan adalah hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan. Adakah kesihatan wanita tidak penting kepada kerajaan?

“Dengan ini, Puteri UMNO menyeru agar kerajaan cakna dan kembalikan semula inisiatif suntikan HPV percuma untuk 18 tahun ke atas kepada semua wanita yang layak. Laksanakan semula program dan adakan kempen untuk capaian maklumat yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Nurul Amal turut menyentuh mengenai kes keganasan dan diskriminasi terhadap wanita yang semakin banyak dilaporkan kebelakangan ini, katanya, walaupun kejadian berkenaan telah dilaporkan, namun ia didakwa tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa sehingga ia menjadi lebih membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan mewujudkan satu landasan aduan yang melindungi nama pelapor bagi tujuan keselamatan seperti dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada ‘whistle blower’.

Artikel Berkaitan:

“Kita selalu baca, banyak kes yang dipandang sebelah mata dan tidak diambil serius oleh pihak berkuasa sehingga perkara menjadi lebih teruk. Banyak aduan tidak diberi perhatian malah ada yang disuruh pulang dan selesaikan sendiri atas alasan masalah keluarga.

“Oleh itu, Puteri UMNO memohon, penyediaan lebih banyak Rumah Perlindungan Wanita buat mangsa-mangsa yang terkesan bagi menjamin keselamatan mereka serta bantuan psikologi untuk membantu mereka menangani trauma,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!