Razali selar kenyataan Puad, Salleh Keruak

Datuk Razali Idris. Foto Bernama
Datuk Razali Idris. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menyelar kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan bekas bendahari parti berkenaan iaitu Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mencabar bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendedahkan individu menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Beliau mendakwa, kedua-dua ahli politik itu sudah mengetahui siapa yang menandatangani SD dan menyatakan sokRongan kepada Muhyiddin untuk memegang jawatan sebagai perdana menteri.

"Sudah gaharu cendana pula. Tak payah sembanglah (tipulah) awak sendiri tahu siapa mereka ini, yang ugut mereka pun puak awak juga.

"Muhyiddin telah serahkan semua SD kepada polis. Kalau kes dibawa ke mahkamah, 115 orang ini akan menjadi saksi.

"Mereka tak boleh berbohong di mahkamah... mereka telah tandatangan SD, banyak lagilah agaknya yang akan terbongkar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial tentang ucapan Muhyiddin yang dikatakan mempertikai peranan bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan pelantikan perdana menteri semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Terbaharu, Puad mencabar Presiden Bersatu terbabit supaya mendedahkan nama ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya sewaktu menjadi ketua kerajaan ketika itu.

Jelasnya, kenyataan yang dibuat perlu berlandaskan fakta dan tidak hanya tuduhan kosong tanpa bukti.

Artikel Berkaitan:

Salleh juga dikhabarkan turut mengeluarkan hantaran di Facebook bahawa Muhyiddin tidak akan berani mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya kerana bimbang hilang jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!