Tiga ahli pasukan ski Korea Selatan maut kemalangan di New Zealand
SEOUL - Tiga warga Korea Selatan daripada pasukan ski kebangsaan terbunuh dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di New Zealand, lapor Agensi Berita Yonhap, berdasarkan laporan berita dan sumber diplomatik pada Khamis.
Kemalangan itu berlaku pada 3.15 petang Rabu apabila van mini yang membawa pemain ski bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan di lebuh raya di kawasan Aoraki di Pulau Selatan New Zealand, lapor The New Zealand Herald.
Dua peluncur ski dan seorang jurulatih terbunuh dalam kemalangan itu, manakala seorang lagi peluncur ski Korea Selatan dan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera, menurut sumber.
Pasukan ski itu dilaporkan berada di New Zealand untuk berlatih dan bertanding di Sukan Musim Sejuk.
Kementerian Luar Korea Selatan berkata misi diplomatiknya di New Zealand sedang berusaha untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan menyediakan bantuan konsular yang diperlukan kepada ahli keluarga mangsa. - Bernama-Yonhap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!