KPKM syor langkah intervensi tangani kos operasi, upah
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesyorkan dua cadangan langkah intervensi untuk menangani isu peningkatan kos operasi jentera dan upah dalam rantaian aktiviti penanaman padi.
Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM dalam satu kenyataan berkata, cadangan tersebut melibatkan jadual harga siling kos upah terkini yang telah mengambil kira harga diesel semasa serta langkah intervensi jangka masa panjang.
Menurutnya, langkah intervensi jangka masa panjang akan dilakukan menerusi pelaksanaan pendaftaran jentera pembajakan dan penuaian di lapangan bagi kajian serta penelitian program bantuan bersasar yang bersesuaian.
"Sebagai makluman, pengesyoran jadual harga siling kos upah yang berkuat kuasa pada 23 Ogos 2024 (Jumaat) merupakan panduan kepada para pemain industri khususnya di Semenanjung Malaysia.
"Harga siling kos upah di Kedah dan Perlis (per relung) sebanyak RM180 untuk jentuai, bajak satu RM120 dan bajak dua serta tiga masing-masing RM110.
"Bagi Kelantan dan Terengganu (per ekar), harga siling kos upah jentuai sebanyak RM13 (per guni), bajak satu ( RM170), bajak dua (RM140) dan bajak tiga (RM130).
"Di Selangor dan pihak swasta di Perak (per hektar) pula harga siling kos upah jentuai sebanyak RM100 (per tan metrik), bajak satu ( RM200), bajak dua dan bajak tiga masing-masing RM180," ujarnya pada Khamis.
Sebelum itu, kerajaan telah melaksanakan pengapungan harga diesel dan melibatkan sektor pertanian.
Tambah kenyataan itu, pada Selasa KPKM mengadakan sesi libat urus bersama para penyedia perkhidmatan mekanisasi pembajakan dan penuaian bertujuan untuk mendapatkan maklum balas pasaran terhadap kos upah yang lebih relevan serta tidak membebankan para pesawah.
"KPKM melaksanakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam industri di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mereka yang berkenaan.
"Sehubungan itu, komitmen dan kerjasama para pemain industri adalah penting bagi memastikan proses pendaftaran semua jentera pembajakan serta penuaian dapat dilaksanakan dengan kadar segera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!