LBS catat pertumbuhan stabil bagi tempoh suku kedua 2024

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN
A
A
A
SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS), hari ini mengumumkan keputusan suku kedua bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (Q2FYE2024).

Bagi Q2FYE2024, LBS mencatatkan hasil sebanyak RM431.9 juta, diperoleh daripada operasi yang berterusan, menandakan peningkatan 16.5 peratus daripada RM370.7 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan turut didorong terutamanya oleh peningkatan 17.3 peratus tahun ke tahun dalam hasil segmen pembangunan hartanah, yang meningkat daripada RM358.1 juta kepada RM420.0 juta.

Dengan mengekalkan trajektori kewangan dan operasi pembangunan hartanah yang konsisten, LBS mencapai peningkatan 3.0 peratus dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) kepada RM34.8 juta daripada RM33.8 juta pada Q2FYE2023.

Untuk enam bulan kumulatif (1HFYE2024), PATMI diperoleh daripada operasi berterusan, dengan peningkatan 1.5 peratus kepada RM66 juta berikutan pendapatan dari operasi berterusan sebanyak RM770.1 juta.

Segmen pembangunan hartanah merupakan penyumbang hasil utama kumpulan, iaitu sebanyak 97 peratus atau RM747.2 juta daripada jumlah hasil 1HFYE2024 yang sebahagian besarnya diperoleh daripada projek KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan Idaman.

No Image Caption



Momentum positif pada suku semasa turut dipengaruhi kejayaan pelaksanaan projek-projek LBS yang dilancarkan.

Setakat ini, LBS telah melancarkan tujuh buah projek dengan gabungan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion, dengan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM794.0 juta sehingga 21 Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:


Projek Alam Perdana Central Hub yang dilancarkan pada April 2024 meraih permintaan yang kukuh dan telah menjana jualan sebanyak RM254.5 juta.

Permintaan ini sebahagian besarnya diperolehi daripada Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana yang mencari lokasi perindustrian yang strategik untuk menyokong operasi mereka.

Dengan bank tanah berjumlah 2,686 ekar dan jualan tidak dibil sebanyak RM1.7 bilion setakat 31 Julai 2024, kumpulan optimis untuk mengekalkan prestasi kukuhnya pada masa hadapan.

No Image Caption



Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, komitmen pihaknya terhadap pembangunan lestari telah mendapat sambutan positif daripada pihak berkepentingan dan pelanggan.

“Usaha yang selari dalam kecekapan operasi dan pengurusan kos memainkan peranan penting untuk mencapai hasil yang positif. Kumpulan menjangkakan pelupusan Lamdeal Investments Limited Group termasuk Zhuhai International Circuit akan dimuktamadkan menjelang Oktober.

“Transaksi melalui pemindahan ekuiti dan pembayaran hutang akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan LBS di mana hasil ini akan diperuntukkan untuk modal kerja, bayaran pinjaman, dan membiayai inisiatif pertumbuhan,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah strategik ini selaras dengan objektif untuk mengekalkan modal bagi pelaburan semula dalam projek-projek yang memberi pulangan tinggi, pembayaran hutang atau inisiatif penambah nilai.

“Melangkah ke hadapan, kami tetap komited untuk mengekalkan trajektori positif ini. Keutamaan strategik kami termasuk meningkatkan saluran projek kami, meneroka peluang pasaran baharu dan terus memberikan nilai yang cemerlang kepada pelanggan dan pemegang berkepentingan kami.

“Dengan pendekatan berhati-hati, LBS kekal optimis bahawa dengan kepimpinan yang teguh dan pasukan yang berdedikasi, kami berupaya meneruskan momentum ini pada suku tahun yang akan datang,”katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!