Tiga dokumen Ahmad Zahid bukan SD sokongan ahli Parlimen - Tun Faisal

Hantaran Tun Faisal di laman Facebook pada Khamis.
Hantaran Tun Faisal di laman Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga dokumen yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Istana Negara didakwa bukan dokumen sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merupakan satu kesalahan jenayah ekoran melanggar undang-undang Kanun Keseksaan.

"Dokumen berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan dan menghalang hak serta kebebasan ahli Parlimen untuk membuat keputusan.

"Adakah ini membawa maksud Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi? Semakin lama semakin terdedah penipuan Ahmad Zahid dan Asyraf (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki)," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mendedahkan, hanya 105 akuan bersumpah yang sah daripada 115 nama ahli Parlimen menandatangani dokumen itu.

Beliau berkata, 10 daripada mereka melakukan tandatangan bertindih membabitkan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu Tun Faisal turut mendakwa, tiga dokumen yang dipersembahkan Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu bukan SD sokongan kepada seorang ahli Parlimen untuk dilantik Perdana Menteri.

"Maksudnya, betullah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) telah menghantar cukup 115 SD sebelum pukul 2 petang ke istana seperti yang diminta oleh speaker Dewan Rakyat dan titah YDPA, manakala Ahmad Zahid tidak menghantar SD ke istana.

Artikel Berkaitan:

"Zahid juga sahkan Asyraf (Wajdi) menipu apabila dia menyebut ada 10 SD bertindih.

"Paling penting, Ahmad Zahid sahkan yang dia bawa bukan SD sokongan tetapi tiga dokumen lain yang tidak diminta oleh YDPA sebelum tempoh yang ditetapkan berakhir," dakwanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!