Mara-TNB bekerjasama bangunkan sistem solar di Langkawi

Azhar (empat dari kanan) ketika melawat pengoperasian sistem panel solar di MRSM Langkawi pada Khamis.
Azhar (empat dari kanan) ketika melawat pengoperasian sistem panel solar di MRSM Langkawi pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berganding bahu memulakan pengoperasian sistem solar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang bakal memberi penjimatan elektrik serta melestarikan alam sekitar.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf berkata, kerjasama antara Mara dan TNB adalah selari dengan hasrat kerajaan seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Menurutnya, langkah pemasangan panel solar dengan mengoptimumkan ruang pada bahagian bumbung dewan dan blok pentadbiran dilihat berkesan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar untuk mewujudkan ladang solar.

“Pihak Mara turut beruntung dan berbesar hati atas sumbangan murni pihak TNB yang menawarkan segala peralatan serta pemasangan tanpa kos,” katanya ketika Majlis Perasmian Pengoperasian Sistem Solar IPMA di MRSM Langkawi pada Khamis.

Azhar berkata, pemasangan oleh anak Syarikat TNB, GSPARX Sdn Bhd itu menjana 94.6kWp membantu MRSM Langkawi menjimatkan kos elektrik di samping menyumbang kepada matlamat negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050.

Azhar ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Sistem Solar IPMA di MRSM Langkawi pada Khamis.
Azhar ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengoperasian Sistem Solar IPMA di MRSM Langkawi pada Khamis.

"Ia adalah antara inisiatif TNB dalam menyokong setiap usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh Baharu (TBB), sejajar agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang meningkatkan impak pembangunan mesra alam dan kelestarian kehidupan sejagat," katanya.

Jelasnya, sesebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang telah berusia 15 tahun ke atas perlu membelanjakan kos secara purata hampir RM500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja membaik pulih.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dengan adanya panel solar ini, ia dapat memberi penjimatan yang besar terhadap penggunaan elektrik semasa kerja-kerja membaik pulih dijalankan," jelasnya.

Azhar berkata, setakat ini, pemasangan panel solar telah giat dibangunkan di empat buah MRSM, dua Institut Kemahiran MARA (IKM), dan dua buah Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Selain itu, kerjasama erat antara MARA dan TNB wajar diteruskan lagi pada masa akan datang dengan memberi pendedahan awal terhadap bidang kritikal seperti solar sekali gus meningkatkan peluang pelajar dan usahawan menceburi bidang ini agar banyak lebih inovasi dapat dilakukan bagi penghasilan tenaga baharu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!