PNB imbangi keuntungan, pelaburan sosial

MSAM 2024 dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dari 22 hingga 25 Ogos
MSAM 2024 dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dari 22 hingga 25 Ogos
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan biasiswa berjumlah RM430.1 juta kepada 5,857 pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, setiap usaha PNB dirancang untuk mengimbangi keuntungan dengan pelaburan sosial dan memastikan pulangan mampan bagi pemegang unit sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara termasuk menekankan aspek pendidikan.

"Sehingga kini, biasiswa bernilai RM430.1 juta telah dianugerahkan kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di sini pada Khamis.

MSAM 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam pada itu, Raja Arshad berkata, PNB turut menjalin kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk pembangunan komuniti bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Sepanjang tahun 2023, PNB telah menyumbang RM6 juta dengan 95 peratus diperuntukkan untuk pembangunan komuniti dan selebihnya bagi pembangunan pendidikan.

"Antaranya, sumbangan bernilai RM5 juta kepada lebih 18,500 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada November 2022 serta berterusan hingga Mac 2023," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai MSAM 2024, beliau berkata, MSAM 2024 sudah memanfaatkan lebih 4.3 juta rakyat Malaysia sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2000.

Ujarnya, acara literasi kewangan terbesar negara itu dianjurkan di Selangor untuk kali pertama dan menawarkan pengunjung dengan pengalaman melangkaui pengetahuan pengurusan kewangan dengan memberikan penekanan khusus kepada elemen pendidikan kewangan lebih meluas.

MSAM 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah)
MSAM 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah)

Jelasnya, MSAM tahun ini juga menyaksikan permulaan era baharu bagi ASNB melalui pelancaran logo baharu, yang kini tampil lebih segar dan dinamik untuk menarik generasi muda selain memperkasa pemegang unit sedia ada.

“ASNB mengambil pendekatan yang lebih menarik dan disokong oleh khidmat nasihat kewangan dalam talian lebih peribadi dan mudah seperti Penasihat Pelaburan Robo (RIA), ASNB Academy dan kerjasama dengan Touch & Go,” tambahnya.

Tema Kukuhkan Hidup Anda di MSAM adalah selaras dengan matlamat diperbaharui PNB, mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi yang menjadi panduan PNB bagi memenuhi mandatnya dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.

MSAM 2024 turut membawakan lebih banyak aktiviti menyeronokkan untuk menarik pengunjung dari setiap lapisan masyarakat menerusi inisiatif seperti konsert Labur Ria, fiesta makanan di MAE-Dan Selera, pameran kereta di AutoMania dan hadiah-hadiah menarik bernilai kira-kira RM1 juta.

MSAM 2024 dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dari 22 hingga 25 Ogos di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Untuk pendaftaran, pengunjung digalakkan untuk daftar masuk melalui aplikasi myASNB mereka atau Layari www.pnb.com.my/msam untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!