Selepas Pemuda, Wanita UMNO pula tuntut kerusi DUN Mahkota

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas Pemuda, satu lagi sayap UMNO iaitu Wanita menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kekal diberikan kepada calon wanita dalam pilihan raya kecil (PRK) yang dijadualkan berlangsung pada 28 September depan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerusi tersebut amat penting dan UMNO perlu mengekalkan legasi wanita di kerusi tersebut yang berjaya memperoleh majoriti besar melebihi 5,000 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.

Menurutnya, penyandang kerusi berkenaan adalah seorang Exco kerajaan negeri dan sayap parti itu mempunyai ramai calon berwibawa untuk diketengahkan.

“Dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada 2018, BN kalah di DUN Mahkota dengan majoriti 1,668 undi.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO di Johor dan presiden yang mendengar suara kami kerana semasa PRN, sembilan calon kami diletakkan di DUN untuk bertanding.

“Kita turun berkempen ramai-ramai tapi wanita sentiasa jadi calon luar biasa, fokus bekerja. Sebagai contoh, tiga DUN yang sebelum ini kalah, tapi apabila diletakkan calon kita, menang kesemuanya iaitu Pulai Sebatang, Tenang dan Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Tambah Noraini, Wanita UMNO bekerja keras bagi memastikan kemenangan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang (DUN) Mahkota, dulu Nenggiri. Tangan kanan ajak bersalam, jangan pisau di tangan kiri.

“Kita memang mahukan kemenangan di DUN Mahkota. Jadi, Wanita UMNO menuntut agar kerusi tersebut diberikan kepada calon wanita.

“Setuju atau tidak? Pulang nanti, bawalah ingatan ini bersama dan malam ini, kita harap MKT (Majlis Kerja Tertinggi) bermesyuarat membawa hasrat daripada perhimpunan wanita ini supaya calon di DUN Mahkota adalah daripada kami,” jelasnya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh semasa ucapan dasarnya menyatakan kesediaan sekiranya calon daripada sayapnya diberi kepercayaan sekali lagi bertanding pada PRK DUN Mahkota, Johor.

Jelasnya, ia selepas calon muda yang ditampilkan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan berjaya menang besar baru-baru ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!